Pages

Sunday, September 26, 2010

Selamat menduduki peperiksaan PMR & SPM

Kepada : anak-anak muridku yang disayangi,
Selamat menghadapi peperiksaan PMR dan SPM yang akan tiba. Hadapinya dengan usaha, ketenangan dan tawakal. Yakin dan percayalah, usaha yang gigih sebelum ini akan membuahkan kejayaan. Saya mendoakan kejayaan anda semua

Jurnal Pendidikan UTM

Perbezaan antara pengetahuan dan amalan konsep KBSM di kalangan guru
A. Ghafar, Mohd. Najib and Harun, Mohd Ali (2007) Perbezaan antara pengetahuan dan amalan konsep KBSM di kalangan guru. Jurnal Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, 12 . pp. 99-118. ISSN 1394-1801


Abstract

Kajian ini dijalankan untuk meninjau tahap pengetahuan dan tahap pengamalan konsep Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di kalangan guru-guru di negeri Johor. Seramai 504 orang guru daripada 10 buah sekolah yang merangkumi 9 buah daerah di negeri Johor adalah responden kajian. Instrumen kajian mengukur tahap pengetahuan guru terdiri daripada 54 item soalan yang merangkumi Bahasa Melayu merentasi kurikulum, penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran dan penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Tahap pengamalan pula terdiri daripada 39 item. Pembolehubah moderat adalah umur, jantina (lelaki atau perempuan), kategori guru (guru siswazah atau bukan siswazah), pengalaman mengajar (bawah 5 tahun, 6-10 tahun. 11 tahun ke atas) dan jawatan yang disandang. Analisis statistik yang digunakan ialah ujian 't ' dan analisis Varian Sehala (ANOVA). Keputusan menunjukkan guru-guru mempunyai tahap pengetahuan yang baik terhadap Bahasa Melayu merentasi kurikulum, penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran dan penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran KBSM. Tahap pengamalan guru terhadap Bahasa Melayu merentasi kurikulum, penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran dan penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran KBSM berada pada tahap sederhana. Kajian ini juga mendapati faktor-faktor jantina, umur, tempoh perkhidmatan dan jawatan yang disandang menunjukkan kesan yang signifikan ke atas pengetahuan guru terhadap KBSM. Faktor-faktor jantina dan umur sahaja yang menunjukkan kesan yang signifikan ke alas pengamalan guru.
Item Type: Article
Subjects: L Education > LC Special aspects of education

Divisions: Education

ID Code: 9275
Deposited By: Ms Zalinda Shuratman
Deposited On: 07 Sep 2009 15:22
Last Modified: 02 Jun 2010 09:59
Repository Staff Only: item control page


Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository is powered by EPrints 3 which is developed by the School of Electronics and Computer Science at the University of Southampton. More information and software credits.

Apalah yang diharapkan pada Sekolah Harapan

Oleh : Dr Fatimah Abdullah
Isu buang bayi, kehamilan luar nikah dan pelbagai masalah sosial khususnya di kalangan remaja hebat diperkatakan baik oleh para menteri, isteri menteri, ahli politik dan ahli ahademik mahu pun masyarakat umum. Pelbagai saranan, pendapat, cadangan dan program baik yang masuk akal dan munasabah mahupun yang “separuh masak” dan dangkal dilaporkan di akhbar serta radio dan televisyen.
Inilah masalah yang melanda negara kita. Bukan setakat masalah sosial yang melanda tetapi masalah kecelaruan pemikiran pada pemimpin mengenai sesuatu isu dan bagaimana menanganinya. Inilah masalahnya apabila ada golongan yang sangat cepat mengeluarkan idea tetapi tidak berlandaskan fakta daripada penyelidikan yang terperinci. Walau pun masalah ini telah dikesan sejak sekian lama tetapi dek kerana sikap “ambil mudah” dan “tidak serius” maka masalah sosial itu berterusan atau berulang. Saya pernah ditanya oleh wartawan Berita Harian pada tahun 1996 mengenai isu buang bayi, tetapi setelah lebih 10 tahun masalah berkaita bukan sahaja tidak selesai atau berkurangan bahkan makin meningkat.
Sehingga ini tidak ada penyelidikan yang serius mengenai isu kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi walaupun ramai yang sedar masalah itu makin membarah. Saya dan beberapa orang rakan dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjalankan penyelidikan mengenai kehamilan luar nikah selama dua tahun (dari 2008 hingga 2009) dengan peruntukan Geran Penyelidikan Universiti yang bernilai RM70,000 itu telah dipotong kemudiannya. Menjangkakan sukarnya untuk mendapat data mengenai hal tersebut, kami telah bersetuju untuk mengambil kes yang dirujuk di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Atas beberapa sebab semua kes yang direkodkan dari tahun 2004 hingga 2008 sahaja yang telah kami ambil.
Mendapatkan geran penyelidikan untuk mengkaji isu-isu berkaitan masalah sosial kurang mendapat tempat. Proposal penyelidikan selalu ditolak oleh penal penilai dengan alasan tidak ada “produk yang boleh dikomersialkan”. Walaupun geran yang dipohon jarang mencecah jutaan ringgit sebagaimana penyelidikan dalam sains dan teknologi tetapi kebanyakannya ditolak atas alasan tadi. Demikianlah nasib proposal penyelidikan dalam bidang sains sosial kerana statusnya yang dipandang lebih rendah daripada bidang sains tulin dan gunaan. Pernah orang membuat “lawak” dengan berkata “oh penyelidikan so sial” (sangat sial).
Mengetahui kami ada menjalankan penyelidikan mengenai kehamilan luar nikah, salah sebuah agensi kerajaan telah menunjukkan minat terhadap penyelidikan kami. Atas minat dan saranan yang ditunjukkan oleh agensi tersebut jugalah satu kertas cadangan penyelidikan telah dikemukakan. Malangnya setelah hampir dua tahun, pihak berkenaan masih berdiam diri tidak menyatakan sama ada masih berminat atau tidak dengan proposal penyelidikan berkenaan. Antara jawapan yang diberikan ialah tiada ada wang, tidak boleh diberi terus kepada satu kempulan penyelidik sahaja dan perlu dibuat tender terbuka. Perkembangan terbaharu ialah pegawai yang ada di jabatan berkenaan diminta membuat kajian dan dan menganjurkan program sendiri bagi ujuan menangani isu tersebut.
Itulah sebahagian daripada senario yang berlaku di negara kita. “Malaysia boleh”, semua orang boleh membuat apa sahaja, dalam konteks ini pegawai yang tidak ada latar belakang sosiologi, antropologi atau psiokologi dipertanggung-jawab untuk menjalankan penyelidikan dan program bagi menangani masalah sosial yang serius itu. Dia sebabkan kurang kompetennya dan tidak ada pengalaman menjalankan penyelidikan, beliau meminta jasa baik kami agar memberikannya salinan soalselidik yang telah digunakan dalam penyelidikan kami bagi memudahkan kerjanya. Persoalannya ialah di mana “ethics” agensi kerajaan yang berpegang kepada prinsip keislaman? Ini adalah satu contoh kepincangan yang berlaku. Bagaimana hasil penyelidikan boleh dianggap boleh dipercayai dan sah jika penyelidik tidak berpegang kepada etika penyelidikan dan tidak tahu prosedur dalam penyelidikan sosial. Patutlah banyak masalah sosial tidak selesai malah bertambah serius kerana bukan sahaja pihak yang bertanggung-jawab tidak serius dengan masalah yang melanda masyarakat malah menjalankan kajian pun “pakai ikut suka” sahaja.
Menangani masalah kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi bukan sekadar membuat program dan kempen serta menyediakan sekolah untuk remaja yang berkaitan. Ini kerana langkah ini bukan sahaja berat sebelah kerana si lelaki yang bertanggung-jawab menyebabkan kehamilan dan bersubahat membuang bayi berkemungkinan besar terlepas dan tidak menjalani apa-apa program pemulihan. Selain daripada persoalan penyelidikan sosial yang tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana kos penyelidikan yang dikatakan mahal walaupun hakikatnya tidak pun mencapai jutaan ringgit, kaedah menanganinya dibuat “ikut suka” tanpa perancangan yang teliti dan didasarkan kepada data atau fakta daripada penyelidikan menjadi antara sebab mengapa masalah sosial di negara ini tidak selesai-selesai malah makin bertambah.
Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang sains sosial (sosiologi keluarga), saya kira sudah sampailah masanya pihak berkuasa meneliti semula apa yang telah dilakukan selama ini dalam menangani masalah sosial remaja dan masalah sosial yang lain. Bolehkah di letakkan harapan kepada Sekolah Harapan di Melaka itu? Apakah program atau kurikulum yang dirancangkan untuk penghuninya? Sudahkah dibuat kajian yang rapi dan terperinci sebelum sekolah itu dibuka? Ini kerana mereka yang bakal menjadi penghuninya sudah pasti datang dari latar belakan keluarga, sosioekonomi dan etnik yang berbeza. Sebab mereka hamil juga berbeza; ada yang disebabkan rogol, paksaan, sumbang mahram atau suka sama suka.
Saya berpendapat bahawa meletakkan para remaja di institusi bukanlah satu penyelesaian kepada masalah berkenaan. Saya kira semua pihak harus sedar dengan hakikat atau kenyataan sebenar dalam hidup. Remaja yang terlibat harus kembali kepada keluarga. Keluarga dan komuniti perlu memikul tanggung-jawab membimbing remaja-remaja berkenaan. Semua pihak baik remaja yang terlibat, keluarga mereka, komuniti di mana mereka tinggal dan membesar serta pihak berkuasa perlu berganding bahu menangani isu tersebut. Walau pun akan ada sebahagian daripada ahli komuniti yang mencemuh tetapi itu adalah perkara biasa dalam kehidupan. Keluarga mesti memikul tanggungjawab membimbing anak anak di samping mendapatkan kerjasama daripada komuniti dan komitmen kerajaan harus diberikan secara berterusan. Biarlah remaja kembali kepada keluarga, hidup dan memikul tanggung-jawab sebagai ahli keuarga dan komuniti sehingga mereka melahirkan anak dan membesarkan anak yang dilahirkan itu. Beri mereka kemahiran untuk membuat kerja produktif di samping didikan agama dan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan penjagaan bayi. Ini penting agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang normal dalam keluarga dan komuniti setelah melahirkan anak, dan mempunyai cukup sumber pendapatan bagi menampung hidup tanpa perlu menyerah anak kepada ibu bapa angkat.
Seperti yang dinyatakan di atas, ibu bapa dan keluarga mungkin malu dengan apa yang berlaku. Ahli komuniti pula mungkin memandang serong. Akan tetapi ini adalah perkara biasa dalam kehidupan. Kesilapan dan dosa yang telah dilakukan adalah pengajaran untuk memperbaiki kehidupan seterusnya bukan sahaja oleh remaja berkenaan, malah kesilapan yang yang telah berlaku itu juga sebahagiannya disebabkan oleh kesalahan dan kelemahan keluarga, komuniti/masyarakat dan pemerintah juga yang lalai dengan tanggung-jawab mereka. Saya kira tentunya lebih silap lagi jika ibu bapa menyerahkan cucu mereka kepada orang lain atau mengambil bayi yang dilahirkan sebagai anak angkat sedangkan bayi itu adalah cucunya sendiri dan orang yang kemudiannya dipanggil kakak itu sebenarnya si ibu kandung. Lebih parah lagi ialah jika bayi itu dinasabkan kepada datuknya. Akan tetapi inilah hakikatnya yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat apabila keluarga memberitahu jiran tetangga yang dia mengambil anak angkat.
Memandangkan remaja yang terlibat perlu berhadapan dengan komuniti dan kehidupan sebenar dalam komunit dan masyarakat yang lebih besar maka saya kira dia perlu meneruskan hidup dalam masyarakat dan bukan melarikan diri atau membawa mereka keluar. Jika dia diberi peluang untuk meneruskan hidup secara normal berserta dengan bimbingan agama dan pengetahuan lain besar kemungkinan semua pihak akan mendapat faedah malah mungkin lebih berkat kerana wujudnya hubungan saling membantu. Sebaliknya jika remaja berkenaan di tempatkan di institusi, dia akan menghadapi masalah apabila keluar dari institusi, apabila dia perlu berhadapan dengan keluarga dan komuniti sekeliling yang mungkin akan terus memandang serong terhadapnya. Dia mungkin berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya malah seluruh komuniti. Dia juga perlu menyara hidupnya sendiri, tanpa sokongan ahli keluarga dan komuniti apabila keluarga sendiri “membuangnya”. Apabila hidupnya tidak menentu dan terumbang ambing kebarangkalian untuk dia mengulangi episod lama adalah tinggi.
Ibu-ibu muda yang ditemui di rumah perlindungan memberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku atau yang mereka lakukan sehingga hamil dan mengandung. Mereka juga menyatakan rasa sedih, kesal dan bersalah dengan apa yang telah berlaku. Malangnya mereka meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat melihat bayi yang dilahirkan kerana ibu bapa telah menyerahkan anak tersebut kepada keluarga angkat dan dia tidak tahu siapa keluarga angkat tersebut. Walaupun sedar akan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan tetapi kesedihan itu berpanjangan apabila ibu bapa tidak mahu bercakap dengan mereka walaupun pernah membuat panggilan telefon ke institusi di mana dia di tempatkan. Menurut ibu muda itu dia tidak pasti ke mana dia akan pergi setelah keluar dari institusi tersebut. Bayangkan jika dia terus tinggal dalam keluarga dan komuniti, dia akan dapat meneruskan hidupnya secara normal, malah bayi yang dilahirkan itu juga boleh mendapat jagaan, perlindungan dan kasih sayang daripada ibu, datuk nenek dan saudara mara dekat. Sokongan sosial dari keluarga dan komuniti sangat penting kepada ibu muda dan anaknya itu. Justeru, sudah sampai masanya ibu bapa perlu mengenepikan rasa malu dan menjaga “air muka” sendiri tetapi mengabaikan tangggung jawab menjaga dan memberi sokongan kepada anak dan cucunya. Ini kerana kesilapan sianak sedikit sebanyak ada kaitan dengan kelalaian ibu bapa juga.
Pada saya sekolah harapan hanya sebuah projek peribadi tidak mempunyai asas yang kukuh dalam usaha menangani masalah sosial. Mungkin ramai yang tidak bersetuju tetapi ini adalah pandang saya berdasarkan alasan di atas. Dalam menangani masalah sosial, penyelidikan sosial yang terperinci dan sistematik perlu dilakukan dengan serius. “Bank data” mengenai isu sosial perlu dikumpul dengan sistematik agar program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan kepada kumpulan sasar sebelum dasar sosial digubal. Jika pihak berkuasa boleh menghabiskan jutaan ringgit untuk program-program seperti “Kami Prihatin” maka apa sangatlah nilai bagi geran penyelidikan sosial yang jauh lebih rendah. Saya bimbang kos sosial akan meningkat pada masa depan jika pihak berkuasa tidak serius dengan masalah sosial yang sedang melanda sekarang. Justeru, bolehkah kita menaruh harapan kepada sekolah harapan?
Penulis adalah mantan Prof Madya dalam bidang Sosiologi Keluarga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Monday, September 20, 2010

Salam Aidilfitri

kepada rakan, teman, sahabat, adik, abang, kakak, saudara/i dan sesiapa yang mengenali saya terimalah sepuluh jari ampun dan maaf sekiranya tersilap kata, tersalah bicara, kurang tingkah atau termasam muka. Halalkan makan, minum dan ilmu yang di beri. Jemput datang ke rumah.

Kajian Tindakan

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGEMBANGKAN ISI KARANGAN (BERBENTUK UMUM – LANGKAH – LANGKAH ) TINGKATAN 2 DENGAN KAEDAH RAJAH

1.0 REFLEKSI

Penulisan karangan menjadi sukar kerana pelajar –pelajar hari ini kurang mempunyai kemahiran mengembangkan isi karangan. Sebagai akibatnya, isi soalan karangan yang berbentuk umum ( langkah-langkah ) sukar di kembangkan/dihuraikan oleh para pelajar dalam masa yang cepat dengan baik. Hal ini merupakan dapatan pemerhatian saya terhadap pelajar 2KT1 hasil analisis ujian bulanan yang pertama.

Bagaimana pelajar saya boleh mengembangkan isi karangan? Semua ini telah menjadi dorongan kepada saya untuk menjalankan kajian tindakan ini.


2.0 ISU KEPERIHATINAN / FOKUS KAJIAN

Saya mendapati semua pelajar 2KT1 tidak dapat mengembangkan isi karangan dengan baik dalam ujian 1 yang lepas atau melepasi markah 50% Walaupun mereka mengetahui isi karangan. Masalah ini jika tidak diatasi akan menyebabkan pelajar tidak dapat menulis karangan dengan baik dalam masa yang ditetapkan.

Oleh itu, saya yakin sekiranya pelajar dapat mengingat akronim tertentu, maka pasti pelajar dapat menjawab soalan tentang “langkah - langkah” dan sinonim dengannya. Hal ini akan meningkatkan keyakinan dan keseronokkan pelajar menulis atau mengarang seterusnya meningkatkan prestasi mata pelajaran bahasa Melayu kertas penulisan.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

3.1 Objektif Am

Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menghurai isi karangan yang berbentuk umum ( langkah-langkah ) dan sinonim dengannya.

3.2 Objektif Khusus

Kajian ini bertujuan untuk membantu para pelajar mengembangkan isi / fakta tentang soalan karangan berbentuk umum ( langkah-langkah ) dan sinonim dengannya.

4.0 KUMPULAN SASARAN

Satu kelas iaitu Tingkatan 2KT 1 yang terdiri daripada 15 orang pelajar telah diambil sebagai responden kajian. Pelajar yang terlibat dikategorikan kepada 3 kategori iaitu;

• 5 orang – pelajar yang boleh menulis karangan secara biasa tanpa bantuan guru.
• 5 orang – pelajar yang boleh menulis karangan secara biasa dengan bantuan guru pada tahap minimum.

• 5 orang – pelajar yang boleh menulis karangan secara biasa dengan bantuan guru sepenuhnya.


5.0 PELAKSANAAN KAJIAN

Kajian Tindakan ini melibatkan empat fasa iaitu fasa tinjauan masalah, fasa analisis tinjauan masalah, fasa tindakan dan fasa refleksi. Kajian ini akan dijalankan selama 4 minggu dengan pengawasan pengkaji. Antara instrument kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah :

5.1. Ujian Pre Kemahiran mengembangkan isi soalan berbentuk umum ( langkah-langkah )
5.2. Kemahiran menggunakan Kaedah Rajah
5.3. Ujian Post kemahiran mengembangkan isi soalan umum ( langkah-langkah )

6.0 TINJAUAN MASALAH

6.1 Pemerhatian

Saya akan menyemak latihan yang diberi kepada pelajar. Jika ada kesilapan, pelajar akan diminta membuat pembetulan dan hantar semula latihan tersebut kepada saya.

6.2 Ujian Pra Kemahiran Mengembagkan Isi Soalan Umum ( langkah – langkah )

Kemahiran mencari fakta karangan soalan umum ( langkah-langkah ) .
Soalan : Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah mengatasi masalah kemalangan jalan raya hari ini
Sampel diminta mencari dan mengembangkan isi soalan ini.


7.0 ANALISIS TINJAUAN MASALAH

7.1 Analisis Pemerhatian

Pelajar mengambil masa yang lama ( hampir 1jamt untuk mengembangkan sekurang-kurangnya 3 isi tajuk karangan yang di beri)

7.2 Analisis Ujian Pra

Semua sample yang terlibat mengambil masa yang lama (lebih kurang 1jam ) untuk mengembangkan isi karangan;

- 6 orang dapat mengembangkan 3 isi karangan pada tahap sederhana
- 4 orang dapat mengembangkan 2 isi pada tahap sederhana
- 4 orang dapat mengembangkan 1 isi pada tahap sederhana
- Seorang tdapat mengembangkan 2 isi pada tahap lemah

8.0 TINDAKAN YANG DICADANGAKAN

8.1 Kaedah Rajah

Kaedah ini telah digunakan dan dipilih memandangkan ia dapat menarik perhatian dan minat pelajar. Justeru proses memahami dan mengingat menjadi mudah Antara Langkah ;

8.1 Guru Menyebut akronim “KISMme” dan pelajar diminta mengikutnya

8.2 Guru memperkenalkan maksud setiap huruf ;

K – KERAJAAN
I - IBU BAPA
S – SEKOLAH
M – MASYARAKAT
me –MEDIA MASSA

8.3 Pelajar kemudian ditanya dengan soalan ;

Apakah yang dapat dibuat oleh (KISMme ) ?
Bagaimana caranya
Apakah contohnya ?

8.4 Guru dan pelajar berbincang kaitan rajah di bawah dengan soalan yang diajukan

K - K APA/ BAGAIMANA /CONTOH
- U

I - A APA / BAGAIMANA / CONTOH
- M

S - K APA / BAGAIMANA /CONTOH
- K

M - KJ APA / BAGAIMANA /CONTOH
K

Me – PTI APA / BAGAIMANA /CONTOH

8.4 Pelajar dikehendaki menulis jawapan daripada soalan yang diberi



9.0 JADUAL PELAKSANAAN KAJIAN

Bil Aktiviti Tarikh Pelaksanaan
1 Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data awal 23 Mac 2008
2. Merancang tindakan 24 Mac 2008
3. Menulis proposal kajian 24 Mac 2008
4. Melaksanakan kajian tindakan (aktiviti 1 ) 3 April 2008
5. Membincangkan masalah yang timbul dalam aktiviti 1 ( dalam panitia ) 3 April 2008
6. Melaksanakan tindakan ( aktiviti 2 ) 9 April 2008
7. Membincangkan masalah yang timbul dalam aktiviti 2 ( dalam panitia ) 9 April 2008
8. Ujian untuk mengesan pencapaian pelajar 17 April 2008
9. Refleksi kajian 17 April 2008
10. Menulis laporan kajian 21 April 2008
11. Pembentangan dapatan kajian 28 April 2008

10.0 KOS KAJIAN

KERTAS A 4 = 1 RIM ( RM 8.50 )



11.0 PELAKSANAAN TINDAKAN DAN PEMERHATIAN

Fasa pelaksanaan tindakan ini melibatkan dua kali perjumpaan bersama pelajar. Kaedah rajah dan penjelasan langkah – langkah pelaksanaannya digunakan untuk pertama kali. Selepas analisis dan refleksi dijalankan, Kaedah ini diulang semula untuk perjumpaan kali kedua. Akhir sekali Ujian Post Kemahiran MENGEMBANGKAN isi karangan berbentuk umum ( langkah-langkah ) dijalankan untuk menguji keberkesanan kaedah ini.


12.0 REFLEKSI KESELURUHAN

Hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah akronim dapat meningkatkan kemahiran mengembangkan isi karangan berbentuk umum ( langkah –langkah dan yang sinonimnya) dalam masa yang singkat. Hal ini kerana pelajar yang dapat mencari kata kunci mengembangkan isi karangan yang tepat dan cepat, akan membantu mereka mengarang dengan baik atau sekurang-kuranngnya menepati kehendak soalan.

13.0 CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA

Untuk kajian seterusnya, saya berharap dapat mengembangkan kaedah rajah ini dalam tajuk karangan yang lain. Selain itu, saya akan memilih akronim yang mudah dingat dan sesuai dengan pelajar.


BIBLIOGRAFI

Ishak Haron (1979), Panduan Pengajaran Mengajar Bahasa Malaysia di Sekolah Menegah : Satu “ conceptual Framework” dalam Penulisan Karangan : DBP

Pengurusan pengajaran

1.0 Pengenalan

Peranan pendidikan sebagai suatu wahana utama dalam rangka menangani cabaran-cabaran Wawasan 2020 sememangnya diungkapkan dengan begitu jelas melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hal ini turut meletakkan acuan serta landasan kepada usaha melahirkan manusia Malaysia yang unggul dan cemerlang.

Usaha memacu perubahan serta memperkasa sektor pendidikan untuk menempuh cabaran alaf akan datang semestinya bergerak selari dan sederas arus perdana masa kini. Ternyata ini menuntut komitmen jitu pihak guru dalam membina kekuatan dan keyakinan diri dengan bersandarkan kesanggupan menguasai dan menerokai ilmu, dan kepakaran terutamanya dalam era digital dan maklumat. Melalui penyebaran dan pengggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh dan bersepadu dalam dunia pendidikan masa kini, bukanlah suatu keganjilan apabila Ibu bapa dan masyarakat seluruhnya meletakkan ekspektasi yang amat tinggi terhadap kaum guru untuk membuktikan kewibawaan dalam memainkan semua peranan dan tanggungjawab tersebut ke arah kecemerlangan anak didik masing-masing sesuai dengan perkembangan pesat negara menjelang tahun 2020. Dan oleh sebab kita berada dalam kancah era globalisasi dan dunia tanpa sempadan yang jelas memperlihatkan berlakunya perubahan pada setiap detik, yang ikut menghadirkan pertembungan budaya yang membawa implikasi kepada penyebaran pengaruh nilai dan sikap global, maka pengharapan ibu bapa dan masyarakat ini akan terus menerus meningkat seiring dengan meningkatnya perubahan cara dan gaya hidup era digital dan maklumat masa kini. Senario peningkatan ekspektasi di celah-celah perubahan pesat negara ini adalah gambaran nyata tentang betapa hebatnya cabaran yang dihadirkan untuk kaum guru di tengah-tengah masyarakat kosmopolitan Malaysia hari ini.

2.0 Punca – punca Berlakunya Masalah

Guru sebagai individu yang dipertanggungjawabkan ke atas masyarakat, negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar pasti menghadapi masalah –masalah serta cabaran-cabaran dalam melaksanakan tugas atau tanggungjawab sebagai guru. Masalah utama guru lebih banyak berkisar di dalam bilik darjah. Antaranya pengurusan kelas tidak berkesan, buku latihan pelajar jarang disemak dan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran tidak digunakan. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor menyebabkan guru-guru terhalang daripada melaksanakan tanggungjawab di atas dengan baik . Punca – punca berlakunya masalah ini boleh dibahagikan kepada 2 faktor iaitu faktor dalaman yang terdiri daripada sikap guru akibat terlalu lama berada di dalam zon selesa, kurang kemahiran dan pengetahuan berkaitan pendidikan terkini, kurang pengalaman. Manakala faktor luaran pula terdiri daripada bilangan pelajar, sikap ibu bapa, masalah disiplin pelajar, kurang pemantauan pihak atasan, tekanan terhadap tahap pencapaian pelajar, dan terlalu banyak program pendidikan daripada kementerian , jabatan dan agensi kerajaan yang lain yang perlu dilaksanakan seiring dengan tugas utama ( pengajaran dan pembelajaran ) di dalam bilik darjah.
2.1 Faktor Dalaman

Faktor dalaman lebih merujuk kepada sikap negatif guru terhadap
profesion sendiri. Fenomena ini mungkin terjadi apabila seseorang guru itu berada lama di sesebuah sekolah yang mana pengajaran dan pembelajarannya kurang dipantau oleh mana- mana pihak yang berautoriti. Hal ini akan menyebabkan guru tersebut berada di dalam zon selesa. Akibat terlalu lama berada di dalam zon selesa guru berkenaan sukar untuk menerima pembaharuan dan perubahan dalam dunia pendidikan. Maka ketiga – tiga masalah yang disebutkan di atas akan berlaku di dalam bilik darjah kerana guru berkenaan tidak mahu mengubah sikap untuk berubah mengikut perubahan semasa terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal yang sama juga boleh berlaku kepada guru baru atau mana – mana guru sekiranya mempunyai sikap negatif untuk meningkatkan kompetensi diri melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran. Kesemua sikap negatif yang ada pada guru lama atau guru baru akan mengurangkan kemahiran dan pengetahuan guru berkenan sesuai dengan peredaran semasa.

2.2 Faktor Luaran
2.2.1 Bilangan Murid

Nisbah seorang guru kepada 40 orang murid atau pelajar atau 1: 1.5
menunjukkan bilangan murid terlalu ramai dalam sesebuah bilik darjah. Perkara ini memungkinkan masalah kepada seorang guru untuk mengawal kebajikan serta kualiti keberkesanan pembelajaran ke atas setiap individu pelajar secara sama rata dan menyeluruh serta ditambah dengan faktor masa pembelajaran yang agak singkat. Hal ini telah terbukti dengan contoh benar yang dipaparkan oleh surat khabar Berita Harian pada bulan Mac 2006 menyatakan sebuah sekolah rendah di Pasir Gudang ( SK. Kota Masai ) mempunyai bilangan pelajar mencecah 50 orang bagi satu kelas dan hal ini telah menimbulkan masalah besar kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah.

2.2.2 Guru Mengajar Bukan Opsyen

Kekurangan guru dalam satu-satu mata pelajaran menyebabkan
seseorang guru itu terpaksa mengajar mata pelajaran yang bukan opsyennya. Hal ini akan menyebabkan wujudnya konflik dalam diri guru berkenaan kerana kesukaran mendalami ilmu yang terdapat dalam mata pelajaran tersebut. Sebagai contoh guru opsyen Sains atau Matematik dikehendaki mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Konflik opsyen yang wujud akan menyebabkan guru berkenaan kurang minat dan mudah berasa bosan. Hasilnya wujudlah ketiga – tiga masalah di atas.

Selain itu, kekurangan tenaga guru yang terlatih di sesetengah tempat
atau pengambilan guru ganti akan menyebabkan pengambilan guru-guru yang tidak terlatih untuk mengisi kekosongan tempat dalam sektor pendidikan. Guru-guru yang tidak terlatih secara formal tidak dapat pendedahan tentang tanggungjawab sebagau guru secara langsung. Perkara ini menyebabkan mereka seringkali gagal mengamalkan etika profesion perguruan serta kurang berupaya menangani permasalahan pedagogi di dalam bilik darjah kerana tidak mempunyai latihan perguruan dan pengalaman mengajar .

2.2.3 Kekurangan Kemahiran Menggunakan dan Penghasilan Alat Bantu Mengajar Terkini

Kekurangan kemahiran guru dalam menguasai ilmu teknologi terkini iaitu
Teknologi Maklumat ( ICT ) menyebabkan guru bukan sahaja tidak berupaya menghasilkan alat batu mengajar yang menarik dan berkesan sesuai dengan kehendak zaman malah kurang kemahiran dalam mengendalikan alat bantu mengajar terkini iaitu penggunaan Teknologi Maklumat seperti internet, komputer riba dan LCD Projektor. Kesemua alat ini telah dibekalkan kepada semua sekolah oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kesannya alat bantu mengajar yang dibekalkan tidak digunakan secara efektif dan perkara ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran menjadi kurang berkesan kerana sumber pengajaran dan pembelajaran tidak sesuai atau relevan dengan kehendak pelajar dan peredaran masa. Hal ini akan menyebabkan wujudnya masalah disiplin di dalam kelas dan dalam masa yang sama menyebabkan alat bantu mengajar yang dibekalkan oleh kerajaan seperti komputer riba, LCD projektor dan sebagainya akan menjadi gajah putih.

Selain itu, terdapat juga program-program yang cuba diperkenalkan dalam
pendidikan oleh Kementerian Pendidikan seperti sekolah bestari, e-pembelajaran dan sebagainya yang mana menggunakan pendekatan pembelajaran berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan dapatan kajian peringkat kebangsaan oleh sepasukan penyelidik Fakulti Pendidikan UKM sepanjang tahun 2001, sebanyak 70 peratus guru sekolah bestari kurang mengambil berat terhadap pelaksanaan program sekolah bestari yang dilancarkan sejak awal 1999. keadaan ini berlaku kerana faktor sebilangan guru yang terlibat yang mungkin kurang mendapat latihan secara langsung dan berkesan untuk mempertingkatkan kemahiran ICT.

2.2.4 Beban Tugas Guru

Guru seringkali dibebankan dengan beban tugas yang semakin hari
semakin meningkat . Pelbagai tanggungjawab terpaksa dilaksanakan oleh guru semasa mereka berada di sekolah Adakalanya guru-guru juga diminta melaksanakan tugas-tugas pentadbiran seperti pendaftaran pelajar, pemungutan yuran sekolah, kadang-kadang secara tidak langsung mereka menjadi seperti seorang doktor kepada ” pesakit jiwa ” untuk menyelesaikan masalah peribadi pelajar dan sebagainya sedangkan guru sudah sedia memikul tanggungjawab yang berat di sekolah. Beban tugas yang banyak antara punca berlaku 3 masalah yang disebutkan di atas.



2.2.5 Ibu Bapa

Sesetengah ibu bapa yang mempunyai masalah dalam institusi keluarga,
tidak menyediakan anak mereka dengan pendidikan akhlak secukupnya sebelum menyerahkan anak mereka untuk menerima pendidikan lanjutan daripada guru-guru di sekolah. Hal ini menyebabkan wujudnya pelajar-pelajar bermasalah yang seringkali mengganggu kelancaran sesi pengajaran dan pembelajaran serta suasana harmoni di sekolah. Ibu bapa juga lebih cenderung untuk menyalahkan guru-guru apabila mendapati anak-anak mereka gagal memperoleh keputusan yang cemerlang dalam pelajaran atau mempunyai masalah disiplin di sekolah. Hal ini akan secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru.

2.2.6 Gejala Sosial Dan Masalah Disiplin

Gejala sosial dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar juga
menambahkan lagi beban guru di sekolah. Sikap segelintir pelajar yang menimbulkan masalah disiplin serta gejala sosial yang serius mengundang kemarahan dan secara tidak langsung mencabar kesabaran guru yang sangat terbatas dan kadangkala bertindak di luar kawalan. Adakalanya guru terpaksa mengambil masa yang lama bagi mengatasi masalah ini sekiranya berlaku di dalam bilik darjah. Perkara ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran terganggu. Malah perkara ini bukan sahaja memberi tekanan kepada guru malah akhirnya menyebabkan guru akan hilang minat mengajar pelajar kelas berkenaan
2.2.7 Program Luar yang Berunsur Pendidikan

Terlalu banyak program – program arahan kementerian , Jabatan dan
agensi-agensi luar daripada kelompok pendidikan perlu dilaksanakan oleh guru . Memang benar program yang dirancang oleh agensi-agensi luar ini memang baik tetapi kekangan masa dan beban tugas guru yang sedia ada sudah banyak maka berlakulah kesukaran untuk memilih yang mana perlu diutamakan. Sebagai contoh Program anti Dadah ( Kementerian dalam Negeri ), Kempen menghijaukan bumi ( Jabatan alam sekitar ), Bebas denggi ( Kementerian Kesihatan ), Program RIMUP ( Jabatan Perpaduan) dan sebagainya. Kesemua program ini, membebankan guru selain memesongkan tumpuan guru terhadap pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini akhirnya akan menyebabkan guru tidak masuk ke kelas , tidak membuat persediaan yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah serta tidak sempat menanda buku-buku pelajar.

3.0 Cadangan-Cadangan Untuk Meningkatkan Keberkesanan Pengajaran
Dan Pembelajaran

3.1 Guru Perlu Meningkatkan Kompetensi Diri Sendiri

Konsep kelas berkesan mempunyai hubungan rapat dengan keberkesanan guru. Kajian mengenai keberkesanan guru menjadi tumpuan utama oleh para pengkaji, pendidik dan ahli professional organisasi. Definisi keberkesanan guru dan pendekatan konsep juga berbeza mengikut takrifan individu. Sebahagian daripada pengkaji memberikan tumpuan kepada ciri personaliti guru, trait, perlakuan, sikap, nilai kebolehan dan ciri-ciri personal yang lain. Sementara yang lain memberikan tumpuan kepada proses pengajaran seperti kaedah mengajar, hubungan guru dengan murid, iklim bilik darjah dan lain-lain. Terdapat juga pengkaji yang menilai keberkesanan guru dan murid melalui hasil pengajaran seperti pencapaian akademik murid, perkembangan personal dan pengalaman pembelajaran. Anderson (1991), menjelaskan guru yang berkesan ialah guru yang dapat mencapai matlamat yang ditetapkan sama ada oleh guru sendiri atau pihak pentadbir sekolah. Manakala Ornstein (1991) berpendapat guru yang berkesan harus mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan dan mampu mengaplikasi dalam bilik darjah. Menggabungkan dua konsep yang dijelaskan oleh Anderson et al. dan Ornstein et al., guru yang berkesan dianggap guru yang mempunyai kompentensi yang relevan iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap serta menggunakan kompentensi ini untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Melalui aliran pemikiran ini keberkesanan guru berdasarkan kepada kompentensi, pencapaian guru dan pencapaian matlamat sekolah.

Pada pendapat saya, penguasaan ilmu oleh guru secara teknikal dan konseptual adalah penting bagi meningkatkan kompetensi kita sebagai guru bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menguasi ilmu-ilmu pengetahuan terkini tidak boleh dipandang ringan atau remeh oleh guru. Sebagai guru, kita harus sentiasa membuat refleksi mengenai kekuatan dan kelemahan diri, mengkaji perubahan-perubahan luar serta kehendak dan nilai masyarakat yang sentiasa berubah. Era globalisasi dan ledakan maklumat pada masa kini memerlukan kita menguasi lebih daripada satu bidang. Kemahiran dan ilmu yang diperoleh pada masa lalu mungkin kurang relevan atau harus ditambah dengan kemahiran terkini seperti penguasaan konsep dan aplikasi teknologi maklumat. Untuk itu kita harus mencabar keupayaan diri dan berusaha meningkatkan kompentensi bagi menghadapi perubahan persekitaran dan perubahan dari segi keupayaan murid-murid sendiri. Oleh itu sebagai guru kita harus mengamalkan sikap ‘embrace the future not embrace the past’.

Seperti yang digambarkan oleh Csikszentmihalyi (1991) dalam teori ‘ flow’ iaitu guru yang boleh menghadapi cabaran yang boleh ditangani dengan kemahiran dan ilmu yang sedia ada akan merasakan keseronokan bekerja dan berusaha untuk mempertingkatkan lagi kompentensi, keyakinan dan kemahiran.

Penguasaan ilmu dapat diperoleh melalui pelbagai cara. Melalui ‘profesional discussion’ dalam kalangan rakan sejawat mengenai perkembangan ilmu terkini serta kaedah pedagogi yang sesuai dalam pengajaran akan mencetuskan idea-idea baru yang kreatif. Selain daripada perkembangan professional yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti kursus-kursus dalaman dan luaran, kita juga boleh berusaha meningkatkan kompentensi diri melalui pembacaan dan menganalisis kajian-kajian terkini mengenai proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah. Guru boleh mengeksploitsi kecanggihan teknologi maklmumat pada masa kini untuk menguasai ilmu pengetahuan dan berkongsi idea bukan hanya dengan rakan sejawat tetapi juga dengan individu yang mempunyai minat dan profesion yang sama di dalam atau di luar Negara. Melalui peningkatan kompetensi diri sendiri dalam kemahiran, ilmu dan sikap akan membantu kita menyelesaikan segala masalah yang berlaku di dalam bilik darjah seperti yang dinyatakan di atas seterusnya membantu sekolah untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dan seterusnya akan menghasilkan sekolah yang cemerlang.

Manakala sudut perspektif kepimpinan. guru selain daripada perlu
menerapkan nilai-nilai kepimpinan dalam diri pelajar menerusi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah juga perlu mempamerkan ciri-ciri “ kepimpinan melalui teladan” . Seperti yang ditegaskan oleh Dato’ Fadzilah Kamsah (1996) guru ialah seorang pemimpin yang perlu menunjukkan sikap-sikap positif seperti bertanggungjawab. jujur, amanah, taat kepada Allah. tabah, sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, inovatif, kreatif, berani membuat keputusan dan menanggung risiko, personaliti yang terpuji, menolong pelajar dan rakan sejawat, menepati waktu dan tegas dalam tindakan. Semua sifat ini perlu ada dalam diri insan yang bergelar guru bagi mempertingkatkan lagi kompetensi diri.

Setelah kita membina kompetensi diri sendiri melalui strategi – strategi di atas maka hasilnya akan di lihat melalui keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Untuk mencapai objektif pengajaran atau meningkatkan keberkesanan pengajaran para pendidik haruslah ”teach smart” di samping ”work hard”. Di bawah dinyatakan beberapa langkah untuk membantu kita sebagai guru meningkatkan keberkesanan proses pengajaran setelah kita sebagai guru berjaya membina kompetensi diri sendiri.

3.2. Peranan Guru dalam Perancangan Pengajaran dan pembelajaran selepas terbinanya Kompetensi diri

Dalam satu sesi pengajaran, walaupun masa pengajaran cuma 40 minit
tetapi tugas guru pada hakikatnya adalah jauh lebih daripada 40 minit. Guru telah memainkan peranan sebagai perancang, penilai, pengawal disiplin para pelajar dan sebagainya dalam sesuatu waktu pengajaran. Dalam konteks ini, guru telah memainkan peranan yang aktif. Bagaimana pula dengan peranan para pelajar? Jelas bahawa pelajar bersifat pasif dalam situasi pembelajaran sebegini.

Untuk melaksanakan sesuatu pengajaran yang efektif, seseorang guru
seharusnya menumpukan peranannya sebagai seorang perancang, inisiator dan fasilitator. Peranan yang selebihnya seharusnya dimainkan oleh para pelajar. Menurut Roger dan Freiberg (1994, ms. 8), ”when teashers as faciltators of learning rather than mere givers of information, students are challenged to think for themselves. When teachers respect students as sources of knowledge rather than consumers, students become engaged in the learning process.” Para guru seharusnya ingat bahawa kadang kala pelajar-pelajar juga ingin berkongsi pendapat dan pengetahuan dengan rakan-rakan dan guru-guru (Rogers dan Freiberg, 1994). Apalah salahnya jika para guru menggalakkan pelajar-pelajar mengajar sesama sendiri. Mengikut kajian yang dijalankan di National Training Laboratories, Bethel, Maine, purata kadar ingatan pelajar boleh meningkat sehingga 90% jika mengajar sesama sendiri dan menggunakan pengetahuan itu serta merta. Hal ini boleh dilaksanakan melalui pembelajaran koperatif dan guru cuma menjalankan penilaian atau ujian yang ringkas pada penghujung waktu pengajaran. Guru seharusnya merancang dengan teliti supaya tidak berlaku pembaziran masa. Menurut Rogers dan Freigberg (1994), para pelajar lebih suka pengajaran yang tidak terlalu formal dan pembelajaran koperatif memenuhi syarat ini. Dalam hal ini, menurut Shahabudin Hashim, et al (2003 :197) perancangan penyampaian pengajaran juga melibatkan perancangan aktiviti. Aktiviti yang sesuai dan menarik akan mengekalkan minat dan tumpuan pelajar kepada penyampaian guru. Aktiviti yang dirancang oleh guru perlu sesuai dengan :
• Peringakt umur pelajar
• Tahap kebolehan pelajar (pengetahuan sedia ada)
• Isi kandungan yang hendak disampaikan
• Kaedah dan teknik pengajaran-pembelajaran
• Objektif pengajran-pembelajaran
• Peruntukan masa
• Bilangan pelajar di dalam kelas
• Sumber atau alat yang digunakan.

Shahabudin Hashim, et al (2003) menjelaskan bahawa perancangan yang baik akan memaksimumkan penggunaan masa yang diperuntukkan. Setiap minit digunakan bagi memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar. Guru perlu merancang dengan mengagih-agihkan masa bagi setiap langkah dan aktiviti dengan berkesan. Perancangan masa bagi setiap langkah dan aktiviti perlu munasabah dan dapat mencapai objektifnya.

Dalam hal ini, guru perlu mengambilkira kebolehan pelajar, kedalaman isi
kandungan serta sumber atau bahan pengajaran yang hendak digunakan. Semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, guru perlu peka dengan masa yang dirancang supaya tidak ada langkah atau aktiviti yang tertinggal atau dipendekkan daripada masa yang dirancang sehingga mencacatkan pelajaran secara keseluruhannya.Begitu juga bagi pengajaran di dalam makmal atau bengkel; guru perlu merancang masa dengan mengambil kira waktu sebelum dan selepas pelajar berada di dalamnya. Adalah diharapkan guru perlu bijak merancang pengurusan masa supaya bilangan waktu yang diperuntukkan sesuai dengan sub tajuk dan isi-isi penting yang hendak disampaikannya. Hal ini perlu bagi memastikan tidak terlalu banyak kandungan atau sedikit sahaja maklumat yang disampaikan dalam satu waktu pengajaran. Contohnya, guru perlu bijak menentukan isi kandungan antara satu waktu pengajaran 40 minit dan satu waktu pengajaran 80 minit.



3.2 Penggunaan Pelbagai Model Pengajaran

Pelbagai model pengajaran telah direka untuk meningkatkan
keberkesanan sesuatu pengajaran. Mengikut Joyce dan Weil (1996) terdapat 24 model pengajaran yang digolongkan kepada empat keluarga iaitu :
3.2.1. ”Social family”
3.2.2. ”Information processing family”
3.2.3. ”Personal family” dan
3.2.4. ”Behavioural systems family”

Sungguhpun terdapat 24 model pengajaran, tidak ada satu model yang boleh dianggap sebagai model yang terunggul dan paling berkesan. Perkara ini berlaku kerana setiap pelajaran dan subjek mempunyai masalah tersendiri. Jadi, model yang mana yang seharusnya dilaksanakan dalam sesuatu sesi pengajaran? Pendidikan yang paling efektif memerlukan gabungan keempat-empat keluarga model pengajran (Joyce & weil, 1996). Pelbagai model boleh diubahsuai untuk kita gunakan dalam pengajran yang berlainan. Yang penting ialah kepelbagaian model pengajaran dan para pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri. Sesuatu model pengajaran yang terlalu kerap digunakan akan menjadi kebiasaan kepada para pelajar. Akibatnya keberkesanan model tersebut akan menurun. Kemampuan dalam melaksanakan pelbagai model pengajaran di atas berupaya menyelesaikan pelbagai masalah yang di hadapi oleh guru di dalam bilik darjah.

3.3 Pelaksanaan Prinsip-Prinsip TQM Dalam Kelas

Walaupun TQM digubal oleh beberapa orang pakar dalam kegiatan yang berkaitan dengan kualiti untuk dunia perniagaan, prinsip-prinsip TQM boleh diubahsuai dan dilaksanakan dalam bidang pendidikan. Antara pakar-pakar TQM ialah Deming, Juran, Crosby, Feigenbaum dan lain-lain. Pelaksanaan prinsip-prinsip TQM dalam pendidikan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung untuk jangka masa yang panjang. Menurut Saylor (1996), TQM merupakan satu falsafah kepimpinan dan pengurusan, serta prinsip-prinsip pengawalan yang menumpukan kepada kejayaan yang berterusan melalui penurunan kuasa kepada orang-orang yang berkaitan dan kaedah kuantitatif yang menekankan kepada kepuasan pelanggan. Antara prinsip-prinsip TQM adalah seperti berikut :

a. Kepuasan Pelanggan Yang Menyeluruh
Dalam konteks TQM, pelanggan merujuk kepada pihak yang akan menerima perkhimatan. Dalam pendidikan, terdapat 2 jenis pelanggan utama contohnya para pelajar dan pelanggan sekunder contohnya guru, masyarakat dan bakal majikan. Para guru seharusnya membekalkan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak para pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat.

b. Penambahbaikan Berterusan (Continuous Improvement)
Dalam Pendidikan data yang dikumpulkan harus digunakan sebagai asas pengukur untuk memperbaiki sesuatu situasi atau masalah secara berterusan. Para pendidik perlu sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pencapaian secara berterusan dalam semua aspek. Yang menjadi masalah di kebanyakan sekolah ialah banyak data yang dikumpulkan tidak digunakan sepenuhnya..

c. Menggalakkan Pelaksanaan Tugas Secara Berpasukan
Bagi pelbagai masalah dan cabaran dari banyak sudut seseorang guru
itu seharusnya melaksanakan tugas secara berpasukan . Dalam
pengurusan pengajaran dan pembelajaran, pelaksanaan tugas secara
berpasukan boleh dilaksanakan melalui konsep ” pair teaching ”, ” Sistem Buddy” pembinaan dan perkongsiaan dalam menyediakan dan mengunakan ABM , dan sebagainya . Selain itu, guru-guru juga boleh memberikan tugasan kumpulan kepada pelajar-pelajar dengan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber termasuk daripada guru lain. Sekali-sekala kita boleh meminta bantuan rakan sejawat kita untuk membantu menilai pelajar-pelajar kita berpandukan tugasan kumpulan masing-masing. Dengan itu lebih ramai pelajar boleh dilibatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif. Malah akan membantu kita mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi secara kolektif.

d. Penurunan Kuasa (Empowerment)
Untuk menjayakan pelaksanaan TQM dalam pendidikan, semua pihak mesti mempunyai komitmen dan sanggup menerima tanggungjawab serta melakukan anjakan paradigma (paradigma shift). Apabila semua warga sekolah khususnya guru mempunyai sikap sedemikian, maka penurunan kuasa sepenuhnya daripada pihak atsan kepada orang-orang bawahan akan terlaksana dengan sempurna. Di dalam kelas, guru-guru boleh menurunkan kuasa kepada para pelajar dalam urusan kelas, sebagi contohnya, pelajar-pelajar boleh menentukan peraturan kelas masing-masing, mengambil tindakan terhadap rakan-rakan sedarjah yang melanggar peraturan kelas dan sebagainya. Semua ini akan membantu guru mengatasi pelabagai masalah dan cabaran

Dalam konteks perkembangan dunia pendidikan hari ini, guru perlu mengamalkan satu bentuk sistem pengurusan yang menyeluruh atau yang dikenali sebagai “Total Quality Management(TQM)” di bilik darjah. Mark Lofthouse(1996) menyatakan bahawa dalam TQM yang dipentingkan ialah klien (pelajar, ibu bapa, pihak kementerian dan jabatan serta pihak-pihak yang berkepentingan) dan TQM adalah berfaedah dalam menguruskan sekolah. Hal ini bermakna guru yang telah merancang sistem pengurusan di peringkat input mestilah melaksanakan perancangan tersebut di peringkat proses dengan cara
yang cekap untuk memenuhi kehendak klien. Selain itu, guru perlulah mendapatkan maklumat tentang nilai, sikap, tahap pendidikan, jangkaan, situasi sosial dan kecederungan klien untuk memantapkan pengurusan bersesuaian dengan kehendak dan harapan mereka. Guru juga perlu mengamalkan prinsip-prinsip ISO9000 dalam sistem pengurusan mereka. Sebagai contohnya menyediakan satu sistem dokumentasi untuk mengawal hal-hal yang telah, sedang dan belum dilaksanakan. Perlaksanaan TQM dan ISO9000 dalam kelas berupaya membentuk diri guru menjadi lebih bersedia menghadapi pelbagai risiko dan cabaran berkaitan dengan tugas mereka di dalam bilik darjah.Banyak kajian telah melaporkan kejayaan pelaksanaan TQM dalam pendidikan pada peringkat rendah mahupun peringkat tinggi (Mauriel, Baverly & Jenni, 1995; Rudolph & Howard, 1996; Mc Cormick, 1993).

3.4 Penyeliaan
Satu aspek yang tidak kurang pentingnya wujud dalam proses pengajaran
dan pembelajaran ialah penyeliaan. Di sekolah terdapat kecenderungan guru berasa tidak selesa sekiranya ia diselia oleh Jemaah Nazir Sekolah, Pengetua atau guru lain yang diwakilkan oleh pengetua untuk menyelia. Sepatutnya perasaan begitu tidak timbul, malahan guru harus menyediakan diri dan lebih berasa akauntabiliti sekiranya mereka hendak diselia. Perkara ini adalah kerana menerusi penyeliaan seorang guru dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan mereka dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran . Seperti yang ditegaskan oleh Robiah Sidin (1994) penyeliaan merupakan satu bentuk penilaian terhadap prestasi guru di sekolah. Kekerapan guru diselia akan membangkitkan lebih banyak keperluan guru meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah sekaligus mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang dihadapi di dalam biulik darjah. Proses penyeliaan sebenarnya membantu guru berkongsi pengetahuan,pengalaman dan kemahiran dengan mereka yang lebih kanan, berpengalaman dan berautoriti. Malah penyeliaan yang berkonsepkan rakan sejawat akan membantu kita lebih telus dan bersedia menerima kelemahan diri sendiri untk diperbaiki disamping mewujudkan kerja berpasukan. Semua ini akan menjadikan guru lebih berupaya menangani pelbagai cabaran dan masalah yang berlaku di dalam bilik darjah

3.5 Penyelidikan dan Pembangunan
Kebanyakan sekolah, penyelidikan dan pembangunan tidak dilaksanakan dalam proses program akademik. Fenomena ini berpunca sama ada pihak pentadbir sekolah sendiri tidak cenderung ke arah mengadakan penyelidikan dan pembangunan atau guru-guru sendiri tidak memberikan rangsangan positif untuk turut membantu pihak pentadbir melaksanakan perkara tersebut. Sepatutnya timbul kesedaran dalam kalangan pentadbir dan guru-guru supaya mereka lebih berakauntabiliti untuk melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan. Perkara ini adalah kerana menerusi program penyelidikan dan pembangunan organisasi sekolah dapat menemui penemuan-penemuan baru sama ada daripada segi input, proses atau output dalam pengurusan program akademik. Sebagai contohnya hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Shaharom Noordin tentang kaedah pengajaran fizik terhadap 127 orang pelajar dari lima buah sekolah menengah daerah Johor Bahru telah menghasilkan penemuan kaedah pengajaran bermodul berkesan dalam pengajaran fizik. Oleh yang demikian adalah wajar guru-guru meluangkan masa dan mempunyai akauntabiliti menjalankan program penyelidikan dan pembangunan dalam proses pengajaran mereka, agar mereka dapat menemui kaedah yang terbaik untuk melakukan pengajaran

4.0 Penutup

Untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bukanlah satu proses yang mudah. Proses ini memerlukan perancangan yang rapi oleh guru-guru untuk memastikan berlakunya perubahan. Dunia yang pantas berubah menjadikan sesuatu yang baik hari ini bertukar usang pada hari esok. Tidak ada satupun yang dapat bertahan jika tidak dibuat pembaharuan. Pegangan, amalan, dan kepercayaan menjadi fokus utama dalam proses membuat perubahan. Secara amnya, profesion perguruan lebih cenderung terus berpegang kepada cara yang telah diamalkan sejak sekian lama daripada membuat pembaharuan. Kaedah kita mengawal disiplin murid, mengajar, memberi latihan dan kerja rumah, mengatasi masalah murid lambat misalnya tidak banyak berubah.

Perubahan di persekitaran telah membentuk banyak realiti baru. Pelajar sekarang tentu lebih terdedah dengan maklumat berbanding dengan pelajar dua atau tiga puluh tahun lalu. Kita sepatutnya sudah menyediakan kaedah mendidik yang menerima hakikat kematangan mereka. Misalnya mengurangkan kawalan guru tetapi meningkatkan pendekatan membina sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Meningkatkan tahap profesionalisme pengajaran guru dalam persekitaran yang sangat pantas berubah sebaiknya dimulai dengan menggiatkan dan memperbanyakkan usaha meneliti, mengupas, dan memahami realiti baru yang wujud di dalam dan di luar dunia pendidikan sekarang. Daripada kajian-kajian yang telah dibuat penglibatan pelajar-pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting. Para pendidik haruslah sedar bahawa pendidikan perlu diwariskan kepada pelajar-pelajar supaya mereka bersedia dan berkemampuan untuk menjamin kewujudan adat dan budaya bagi sesuatu masyarakat.
















Senarai Rujukan

Abdul Rahim Abd. Rashid. (2005) . “Profesionalisme Keguruan: Prospek dan Cabaran”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adam.J (1992). The Effective Supervisor. Kuala Lumpur : Pelanduk Publications

Anderson, L.W. (1991). In Cheng, Y.C. (1996). Total teacher effectuveness. The International Journal of Educational Management. 10, 7-17.

Arcaro, J.S. (1995). Quality in education : An Implementation Handbook. USA. St Lucie Press.

Bossert, T (1982). The instructional management role of the principal. Educational Adiministration Quarterly 18 (3), 34-64

Charles, C.M ( 1996 ). Building Claaroom Discipline. Longman Publishers USA

Dewey, J. (1897). My pedagogic creed. The School Journey, 54 (3), 77-80

Dewey, J. (1916). Democracy and education. New York: McMillan

Rogers, C. & Freiberg, J. (1994). Freedom to learn. (3rd ed.). New York : Mcmillan.

Joyce, B. Weil,M. (1996). Models of teaching. (5th ed.). Boston, MA: Allyn and Bacon.

Saylor, J.H.(1996). TQM simplified: A practical guide. (2nd ed). New York: McGraw-Hill.

McCormick, B. (Ed.). (1993). Quality and education : Critical linkages. Princeton Junction, NJ : Eye On Education

Mauriel, J.J. Bauerly, M. & Jenni, R. (1995, April). Does TQM affect teaching and learning? Paper presented as the annual meeting of the American Education Research Association, San Fransisco. (ERIC Documeny Reproduction Service No. ED 385010).

Rudolph, J.T. & Howard, N.L. (1996). Implementing TQM at Oregon State University: Moving continuous quality improvement practices into higher education. CUPA Journal, 46 (4), 25-31.