Pages

Monday, November 29, 2010

HIKMAH KEBIJAKSAAN MELAYU[1]
OLEH: AL-FAQIR ILA’LLAH :MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY[2]

Maksud hikmah kebijaksanaan Melayu: nilai-nilai, kata-kata dan tingkah laku serta perbuatan
yang menunjukkan kebenaran dan kebaikan yang tinggi dalam pemikiran, pegangan, sikap,
renungan dan perbuatan di kalangan Orang Melayu. Ini adalah sebagaimana yang terbayang
dalam kata-kata terkenal: Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syarak dan Syarak
bersendikan Kitabullah. Ia menggabungkan dalam satu kesepaduan antara panduan wahyu
dan nubuwwah, faedah daripada pengelaman manusia yang terjelma dalam adat yang serasi
dengannya serta percubaan-percubaan dalam hidup yang dianggap terbaik dan paling unggul
dalam hidup mereka.Ia harmonis dan selaras dengan pegangan dan amalan Ahlisunnah wa
al-Jamaah yang menjadi anutan rantau ini. Ini boleh didapati dalam pantun-pantun, kata-kata pepatah, ungkapan-ungkapan tradisional dan, sudah tentu dari segi agamanya ia terkandung dalam teks-teks yang menerangkan al-Qur’an, hadith-hadith nabi, pegangan akidah, hukum hakam, prinsip-prinsip akhlak,
tatacara menyusun masyarakat dan negeri serta penyuburan ilmu pengetahuan dengan
kepelbagaian cawangan-cawangannya.

Dalam al-Qur’an diterangkan dalam ayat:
Tafsirnya: Dan antara ayat-ayatNya ialah (Ia) menciptakan langit dan bumi dan berlainlainan
pada pertururan bahasa kamu dan warna kulit kamu
(Surah ar-Rum:22)

Dengan itu kita melihat kenyataan dari Allah taala berkenaan dengan adanya ayat-ayat Tuhan
pada bahasa-bahasa pertuturan dan juga warna kulit umat manusia.Ini terbayang lagi dalam
ayat al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu kenal mengenal antara sesama kamu (atau saling plajari ilmu
pengetahuan antara sesama kamu) dan sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu
ialah orang yang paling bertaqwa.
(Surah al-Hujurat:13).

Kata-kata yang menunjukkan kebijaksanaan hikmah Melayu:

Nampaknya yang boleh disimpulkan sebagai ‘hikmah kebijaksanaan Melayu’ ialah intisari
pengajaran yang terkandung dalam ‘tunjuk ajar Melayu’ itu. Ini digunakan oleh Pak Tenas
Effendy antaranya dalam bukunya ‘Tunjuk Ajar Melayu’ (terbitan Dewan Kesenian Riau,
percetakan Yayasan KBMR Keluarga besar Melayu Riau, 1994).

‘Tunjuk ajar Melayu’ itu ialah ‘segala jenis petuah, amanah, petunjuk, nasehat, amanat,
pengajaran, contoh tauladan, yang bermanfaat bagi kehidupan manusia dalam arti luas’.
(ibid.hal.5). Dan ini diikuti dengan kenyataan bahawa pada orang tua-tua Melayu ‘tunjuk
ajar Melayu adalah segala petuah dan amanah, suri tauladan, nasehat dan amanat , yang
membawa manusia kejalan yang lurus dan diridhoi Allah, yang berkahnya menyelamatkan
manusia dalam kehidupan di dunia dan di akhirat’.(ibid.hal.5).

Berkenaan dengan ‘tunjuk ajar’ atau hikmah kebijaksanaan ini ia sedemikian rupa sifatnya
sehingga dikatakan tentangnya ‘Yang disebut tunjuk ajar tua:
Petunjuknya mengandung tuah
Pengajarannya berisi marwah
Petuahnya berisa berkah
Amanahnya berisi hikmah
Nasehatnya berisi manfaat
Pesannya berisi iman
Kajinya mengandung budi
Contohnya pada yang senonoh
Teladannya di jalan Tuhan’ (ibid.6)

Apakah kandungan tunjuk ajar itu? Tunjuk ajar itu mengandungi nilai-nilai unggul (dari
agama Islam), budaya dan nilai-nilai kemasyarakatan yang menjadi pegangan ahli
masyarakatnya. Dikatakan oleh orang tua-tua ‘di dalam tunjuk ajar agama memancar’ atau
‘di dalam tunjuk ajar Melayu tersembunyi berbagai ilmu’ (ibid. 6-7).

Tentang isi kandung tunjuk ajar itu diungkapkan:
Apalah isi tunjuk ajar
ilmu yang benar
apalah isi tunjuk ajar
segala petunjuk ke jalan yang benar
apa isi tunjuk ajar Melayu
kepalanya Syara’
tubuhnya ilmu
apa isi tunjuk ajar Melayu:
penyuci akal
penenang kalbu
apa isi tunjuk ajar Melayu
pendinding aib
penjaga malu
apa isi tunjuk ajar Melayu
sari akidah patinya ilmu
mengekalkan tuah sejak dahulu (ibid.7).

Tentang kepentingan dan nilai tunjuk ajar (atau hikmah kebijaksanaan ) itu jelas daripada
kata-kata bijaksana seperti di bawah:
Apa tanda Melayu juati
Tunjuk ajarnya dipegang mati
Apa tanda Melayu amanat
Memegang tunjuk ajar sampai ke lahat
Apa tanda Melayu berbudi
Tunjuk ajarnya dijunjung tinggi
Apa tanda melalu bertuah
Terhadap tunjuk ajar tiada lengah
Apa tanda Melayu budiman
Tunjuk ajar dijadikan pakaian
Apa tanda Melayu berakal
Tunjuk ajar dijadikan bekal
Apa tandanya Melayu terpilih
Tunjuk ajarnya tiada beralih (ibid.hal)

Demikianlah seterusnya untaian kata-kata yang menunjukkan kata-kata hikmat bijaksana
dijadikan pegangan yang sebati dengan peribadi dan tidak berubah-ubah melainkan elemen-elemen yang memerlukan sebenarnya kepada perubahan. Demi untuk memastikan bahawa
tunjuk ajar ini kekal dalam masyarakat sebagai tradisi yang dipegangi dan dilaksanakan maka
diajarkanlah untaian kata-kata:
Kalau duduk duduk berguru
Kalau tegak tegak bertanya
Lalu pergi mencari ilmu (ibid. Hal.10)

Sikap berpegang kepada ilmu dan pengalaman yang berharga dan teruji dalam hidup
terbayang dalam kata-kata berikut:
Bersua ulama minta petuah
Bersama guru meminta ilmu
Bersua raja meminta daulat
Bersua hulubalang minta kuat
Bersua orang tua minta nasehat (ibid. hal.10)

Pewarisan dan kesinambungan tunjuk ajar itu dipastikan dengan berlakunya amalan pada
generasi yang terdahulu sebelum ia diturunkan ilmunya kepada generasi yang berikutnya. Ini
dapat difahami daripada untaian kata-kata yang penuh bermakna seperti di bawah:
Sebelum mengajar,banyak belajar
Sebelum memberi contoh ,
Bersifat senonoh
Sebelum memberi teladan
Betulkan badan
Sebelum menasehati orang
Nasehati diri sendiri (ibid.hal.13)

Mudarat mengajarkan ilmu tanpa tauladan yang baik terlebih dahulu dijelaskan dalam kata-kata:
Kalau contoh tidak senonoh
Yang mencontohi akan bergaduh
Atau:
Bila mengajar tidak benar
Yang diajar akan bertengkar (ibid.hal. 13)

Pewarisan tunjuk ajar itu, demi memastikan kesinambungannya dalam peradaban, dijadikan
kemestian oleh adat, seperti berikut:
Petunjuk wajib ditunjukkan
Pengajaran wajib diajarkan
Yang petunjuk dipanjangkan
Yang pengajaran dibendangkan (asal tebal)
dengan tunjuk ajar adat berakar
dengan tunjuk ajar imu mengakar
dengan tunjuk ajar
yang kecil menjadi besar
dengan tunjuk ajar
agama menjalar
apa tanda orang beriman
tunjuk ajar ia turunkan (ibid.hal.13)
Dalam pengertian yang senada dengan yang di atas dikatakan:
Tanda orang hidup beradat
Mewariskan tunjuk ajar ia ingat
Supaya hidup selamat
Tunjuk ajar diingat-ingat
Diturunkan bercepat-cepat
Diwariskan ketika ingat
Disampaikan di mana sempat (ibid. Hal. 14).
Prinsip mementingkan contoh tauladan yang dilihat secara nyata adalah jelas diungkapkan:
Mencontoh kepada yang nampak
Meniru kepada yang nyata (ibid.hal.15)
Prinsip ini menyebabkan orang-orang yang bicaranya baik-baik tetapi tauladan dan
amalannya sebaliknya tidak diambil berat oleh orang dalam masyarakat Melayu
tradisional.Dengan itu terkenal untaian kata-kata:
Mulut bermadu perangai macam hantu
Atau mulut manis, kelakuan macam iblis
Terkenal juga kata-kata berkenaan dengan orang ‘lidah bercabang’:
Bila bercakap lidah bercabang
Seumur hidup tak dipercaya orang

Atau dikatakan:
Bila bercakap bercabang lidah
Pantang sekali memegang amanah

Menarik juga dalam prinsip kebijaksanan Melayu ini ialah konsep ‘tua’ dalam erti intelektuil
dan budaya.Ini jelas ternyata dalam ungkapan berikut:
Kalau menjadi tua orang
Langkahnya dilihat lidahnya dipegang
Kalau menjadi orang tua
Sesuaikan langkah dengan bicara
Kalau sudah dituakan orang
Lahir batin jangan bercabang (ibid.hal.16)

Kalau menjadi tua orang
Pantang sekali berlaku sumbang (ibid).

Gambaran tentang manusia berbahagia pula, disebut sebagai ‘manusia bertuah’ ialah:
Apa tanda manusia bertuah
Kecil menjadi tuah rumah
Besar menjadi tuah negeri
Bertuah hidup bertuah mati (ibid.hal.20)

Dan orang yang mendapat faedah yang paling banyak daripada ‘tunjuk ajar’ ialah orang yang
berakal yang cepat mendapat iktibar:
Untuk memahami tunjuk ajar
Banyakkan faham serta iktibar
Untuk memahami tunjuk ajar
Tajamkan mata banyak mendengar
Untuk memahami tunjuk ajar
Tekunkan menyemak , kuat berlajar
Untuk memahami tunjuk ajar
Banyak ilmu perlu didengar

Dan ketepatan dalam faham sangat diutarakan seperti berikut:
Salah tangkap
Badan mengidap
Salah makna
Badan celaka
Salah erti
Rusak pekerti
Salah pakai
Kerja terbengkalai
Salah tafsir
Kerja membazir (ibid. hal.22) dan seterusnya.
Berkenaan dengan kandungan tunjuk ajar itu ia jelas seperti berikut:
Adat bersendikan Syarak, Syarak bersendikan Kitabullah
Adat adalah Syarak semata
Adat semata Quran dan sunnah
Adat sebenar adat ialah Kitabullah dan Sunnah Nabi
Syarak mengata adat memakai
Ya kata Syarak , benar kata adat
Adat tumbuh dari Syarak, syarak tumbuh dari Kitabullah
Berdiri adat Kerana Syarak

Apa tanda Melayu jati

Bersama Islam hidup dan mati(ibid. Hal.25)

Dalam teks Pak Tenas Effendy, ini diikuti dengan bebarapa hakikat dalam kehidupan Melayu
yang menunjukkan kesebatian hikmah kebijaksanaan demikian yang meresap dan sebati
dalam hidupnya, yang pada gambaran ini ia menjadi ‘malakah keagamaan’ (istilah ibn
Khaldun dalam Muqaddimah) pada diri Melayu itu.

Antaranya bagaimana Islam ‘melekat dihati’nya, ‘dengan Islam ia bersebati’, ‘hidup taqwa
kepada Allah’, ‘hidup mati bersama akidah (Ahlissunnah wal-Jamaah)’, ‘memeluk Islam
ianya kekal’, ‘membela Islam tahan dipenggal’, ‘hidup matinya dalam beriman’, ‘taat setia
menyembah Tuhan’, ‘memeluk Islam tidak beralih’, ‘membela Islam tahan sembelih’,
‘kepada Allah tercurah kasih’, ‘membela Islam tahan dipijak’, ‘di dalam Islam beranak
pinak’, ‘kepada Allah tempatnya ingat’, ‘syarak dipegang sunnah diingat’, ‘mengingat Allah
tiada bertempat’, ‘membela Islam tahan dibakar’, ‘ajaran Islam ia mengakar’, ‘kepada syarak
ia menepat’ dan seterusnya (ibid.hal.26-27).

Tanda ianya Orang Melayu ialah ‘membela Islam tahan dicencang’, ‘mendirikan Islam tiada
bercabang’, …’dengan Islam ia menyatu’, ‘Islam menjadi kain dan baju’, ‘islam semata
dalam kalbu’ (hal.28).

Cara hidup Melayu mengikut hikmat kebijaksanaannya ialah: ‘yang kaji dihalusi, yang amal
diperkekal, yang syarak disimak, yang sunnah dimamah, yang iman dipadatkan, yang hati
disucikan, yang akal disempurnakan’ (hal.29).

Butir-butir tunjuk ajar itu cukup untuk menjadikan Melayu sebagai bangsa yang mempunyai prinsip-prinsip kehidupan bagi menjaga hubungannya dengan Tuhannya, dengan sesama manusianya, dengan alam sekitar dan sejarah, serta dengan keabadiannya.Ia berupa panduan yang digabungkan daripada ajaran wahyu, nubuwwah, pengamatan manusia dengan kelengkapan-kelengrapan dirinya serta sejarah yang berlaku dan pengelaman manusiawinya.

Dalam teks ‘Tunjuk Ajar Melayu’ itu terdapat bimbingan kebijaksanaan Melayu tentang
ketaqwaan kepada Tuhan, ketaatan kepada ibu bapa, ketaatan kepada pemimpin, persatuan
dan kesatuan dengan gotong royongnya, tentang keadilan dan kebenaran, kelebihan menuntut
ilmu pengetahuan (bab-bab 1-6), berkenaan dengan nilai-nilai pembentukan peribadi dan
kalbu dengan sifat-sifat ikhlas dan rela berkorban, sifat rajin dan tekun dalam pekerjaan,
sikap mandiri, sikap berbudi, bertanggungjawab, sifat malu bertempat, kasih sayang, (bab-bab 7-13), berkenaan dengan hak dan milik, mesyuarat dan muafakat, keberanian dan
kejujuran, sifat berhemat dan cermat, sifat rendah hati, bersangka baik terhadap makhluk,
sifat prajuk, tahun diri, keterbukaan, sifat pemaaf dan pemurah, sifat amanah, sikap
memenafaatkan waktu, berpandangan jauh ke depan, mensyukuri ni’mat Ilahi, sikap hidup
sederhana (tidak terpengaruh dengan kepenggunaan untuk menunjuk-nunjuk –‘conspicuous
consumerism’) (bab 14-29). Sifat-sifat serta sikap yang tersebut itu datang daripada bangsa
Melayu yang sifat-sifat unggulnya ditarbiah dengan kesempurnaan agama Islam.Melayu dan
agama Islam adalah kesebatian yang sukar digambarkan.

Dalam teks yang sama (hal.397-610) terdapat prinsip-prinsip kebijaksanaan Melayu
berhubungan dengan amanah:amanah guru kepada murid, amanah orang tua kepada
anaknya, amanah dalam hidup rumah tangga atau kekeluargaan, amanah yang am, amanah
dalam mendidik dan membela anak-anak, amanah dalam kesetiakawanan, amanah
berhubungan dengan alam yang kekal abadi, pembenaan rumah tangga dan keluarga yang
bahagia, tentang kepemimpinan, alam sekitar (bab 1-10).

Nampaknya sifat-sifat dan prinsip-prinsip inilah yang tergambar dalam ‘Sejarah Melayu’,
‘Hikayat Hang Tuah’, ‘Tuhfatun Nafis’, ‘Gurindam Dua Belas’, ‘Taj al-Salatin’, ‘Sair
al-Salikin’, ‘Turjuman al-Mustafid’ , teks-teks seperti ‘as-Sirat al-Mustaqim’, ‘Kash
al-Litham’, ‘Furu’ al-Masa’il’, ‘Nihayah al-Zain’, ‘Asuhan Budi’, dan ‘Hadiqatul-Azhar’
dan lain-lainnya yang banyak lagi itu, termasuk hikayat-hikayat, yang berupa catitan abadi
tentang prinsip-prinsip dan nilai-nilai pegangan Melayu sepanjang zaman. Nilai-nilai ini
dalam sastera klasik ada pada Hang Tuah yang berupa personifikasi nilai-nilai peribadi
terunggul dan prinsip-prinsip yang mengekalkan jatidiri Melayu dan tamadunnya.
Ia nilai-nilai yang saya sebutkan dalam perbincangan di IKIM pada 28 Jun 2010 sebagai
‘…nilai-nilai kesejatian dalam kesetiaan, amanah, kebenaran, keberanian, keteguhan azam,
kesungguhan dalam juang, kesetiakawanan, kemampuan komunikasi taraf tinggi dan rendah,
kelicinan usaha bertugas dengan tepat, kematangan rohani dan fikir, jiwa mementingkan
bangsa dan umat mengatasi kepentingan diri yang sempit, pandangan yang jauh dan tajam.
Allahumma’rzuqna amin.Sayangnya setengahnya menganggap ini nilai-nilai feudalisme yang
wajib digantikan dengan ‘nilai-nilai progresif’ tanpa menyedari ini adalah nilai sarwajagat
dan bukan ‘nilai-nilai feudal’.Ia bukan ‘time-bound’ tetapi ‘reality-bound’ dalam pengertian
fitrah yang universal itu’.(dalam nota majlis perbincangan pakar-pakar di IKIM pada 28-6-
10 bertajuk ‘SELEPAS 60 TAHUN KES NATRAH: DI MANA KITA?-PERSPEKTIF
PENDIDIKAN’ hal.2).

Dan bila menyebut Hang Tuah -apapun juga kedudukannya dari segi sejarah ia melambangkan nilai-nilai universal yang menjamin keutuhan dan kesinambungan hidup
peribadi dan tamadun umat.Ia bukan nilai-nilai feudal; kesetiaan Hang Tuah kepada raja
adalah kesetiaan kepada institusi atau tonggak peradaban Islam di kalangan bangsa Melayu
yang tanpanya Melayu akan menjadi ‘cultural barbarian’, ‘kaum biadab dalam budaya’.Ia
dari institusi yang disahkan oleh tradisi dalam ajaran dan sejarah Islam.Ia gabungan antara
Islam dan Melayu seutuhnya.

Kita memerlukan Hang Tuah abad ke 21 di kalangan kita; kita mesti mengelak daripada
peribadi Hang Jebat yang merupakan pemberontakan tanpa prinsip (unprincipled
rebellion).Dalam psikologi rohaniah tradisional ia melambangkan nafsu ammarah bissu’,
yang yang mengarah kepada kejahatan, manakala Hang Tuah adalah melambangkan nafsu
al-mutma’innah yang teguh tenang serta aktif dalam kebaikan yang berterusan. Kita
memerlukan sosok peribadi seperti ini dalam suasana masakini.Ia seumpama angin puting
beliung yang dilihat dari segi positif, dengan titik tengahnya tenang tak bergerak, tetap
dengan bahagian luarnya bergelora tangkas dengan kerjanya; kalbu Melayu tradicional
tenang tetap dengan zikir dan fikir, serta firasat, dalam keimanan, tawakal dan reda, badannya cergas ligat dalam bakti yang berterusan. (Ucapan jazaka’Llah kepada Dato’ Dr Hasan Ahmad CEO Yayasan Karyawan dan kepada Tun Ahmad Sarji yang menonjolkan nilai-nilai unggul dalam peribadi Hang Tuah ini.)

Nilai-nilai ini saya bicarakan dalam memahami pandangan tradisional Melayu berhubungan
dengan ketaqwaan dan iman, budaya ilmu dan menjaga kehidupan yang baik dan bermaruah,
menjaga alam sekitar dan hubungan baik antara sesama manusia, juga tugas menjaga negeri
dengan baik dan berkesan. Ia gususan prinsip-prinsip dan nilai yang menjamin kejayaan
hakiki dunia dan akhirat serta menjadi asas-asas pembentukan peradaban yang dikehendaki
bagi menjadikan ianya alam di mana Kalam Ilahi dan nama-Nya dimuliakan setinggitingginya.

Amin.(lihat ‘Islam Hadhari in the Context of Traditional Malay-Islamic Discourse in the Malay World’ dalam buku ‘Islam Hadhari-Bridging Tradition and Modernity’ , ISTAC, IIUM, 2010 hal.85-121).

Lebai Nusantara Di Sini Bermadah:
Rakan, aku lebai Nusantara di sini
Ingin mengajak rakan melihat kembali
Sejarah dan adat sejati bangsa dan pertiwi
Dalam suluhan hati nurani murni
Tanpa keladak khayalan palsu masakini
Rakan , mari kita ingatkan Pasai dan Melaka
Kemudian Aceh, Inderagiri, Brunei, Petani pesaka
Berterusan dengan pegangan Melayu jati nyata
Nilai dan asas kehidupan puas bahagia
Dengan kebenaran keadilan kesetiakawanan bangsa
Rakan kita semarakkan nilai tradisi kita
Hidup bersendikan adat adat bersendikan Syarak nyata
Syarak bersendikan firman dan sabda
Membina peribadi penuh sejati setia
Dengan kebenaran agama dan tradisi bangsa
Rakan kita membina kesetiakawanan sejati
Bersama mereka hidup kita sampai sebati
Mempertahankan kedaulatan bangsa raja mandiri
Lembaga bangsa menguatkan agama dan diri
Kita bangsa dan watan teguh selamat terdiri
Kita pegangkan iman dan taqwa yang teguh
Keyakinan dengan ajaran dan nilai sungguh
Bermuafakat teguh berpecah kita rubuh
Mendepani suasana budaza keruh dan rioh
Zaman ancaman memastikan kita berteguh
Kita perteguhkan hidup Melayu Islam Beraja
Nilai Melayu sejati bersama Islam mulia
Lembaga beraja adat teguh tersedia dahulu kala
Kesebatian tunjuk ajar membawa kita berjaya
Tepiskan ajaran nilai menyanggah maruah bangsa
Quran mengajarkan Yahud Nasara tidak tenang
Bila teguh kita dalam pegangan menang
Mereka mahu kita tersilap kemuliaan melayang
Nilai kaedah hidup habis terkena serang
Pemikiran menjadi nisbi semua dasar terbang
Kita menjadi hamba baru persejagatan
Kononnya demi kejayaan dan kebahagiaan
Ekonomi kuat selesa jaya dalam kehidupan
Sebenarnya menjadi papa tanpa kebebasan
Kaya bunyi hakikat sebenar khayalan
Kita bangsa agama menjadi melarat
Tamadun sengsara umat mencapai sakrat
Tidak ada lagi yang mulia boleh dibuat
Kepada Allah kita mesti memohon rahmat
Agar tidak ditipu mereka yang sesat barat

-Gubahan Lebai Nusantara di Kuala Lumpur-30-6-10 - sempena penulisan untuk pembentangan di Brunei Darussalam akhir Julai 2010.

[1] Untuk perbincangan dalam seminar di Brunei Darussalam Bandar Seri Begawan hujung
Julai 2010

[2] Felo Amat Utama Akademik ISIAC IIUM, prof.Adjung Universiti Petronas Tronoh
Perak, ahli lembaga pengarah IIM, ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan

Saturday, November 27, 2010

Doa untuk bukan Muslim
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.

Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja.
Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".
Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.
Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.
Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).
Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.
Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?
Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak.
Ini adalah pandangan saya.

Friday, November 26, 2010

Hasil ilham dan ciptaan bersama Muhamad Ali Harun, Sharil, Nagarajan. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya. Inovasi dan kreativiti anugerah Allah kepada hamba yang rajin

Thursday, November 25, 2010

Johan Pertandingan Landskap dan Pencahayaan peringkat daerah. Antara tenaga pengerak dan kerja yang menghasilkan kemenangan
Ketenangan yang diperoleh hasil daripada tangan sendiri. Taman ini telah di bina pada tahun 2006 hasil daripada ilham ketika lawatan ke Indonesia
Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi penyayang
KHASIAT AYAT-AYAT AL-QURAN
Surah Ash-Sharh
Dibaca oleh Nabi Muhammad SAW ketika susah hati.
Kesenangan untuk masuk periksa, hati tenang. Baca 40x selepas solat 
fardhu.
Surah Al-Imran / Ayat 200
Doa untuk jadi orang sabar, selepas habis ayat, sebut Allah
Ya-sabur,Ya-sabur, berulang kali.
Surah At-Talbq / Ayat 2-3
Ayat Seribu Dinar : Barangsiapa bertaqwa, Allah akan tolong dalam 
Kesusahan dengan rezeki yang bertambah.
Surah Al Waaqiah / Ayat 19 :
Baca bila sakit kepala dan sapu tempat sakit.
 Surah Al Waaqiah:
 Baca setiap malam sebelum tidur.
Fadhilatnya:Tidak merasa kepapaan atau kehinaan; kaya jiwa bukan 
Harta
Surah Al Baqarah / Ayat 156 :
Baca dalam musibah bukan sahaja kematian.
baca selama 3 malam, syaitan tak masuk rumah selama 
3 malam.
Surah Ibrahim / Ayat 40 :
Baca untuk diri dan keturunan supaya rajin solat. Amalkan setiap selepas
waktu Asar
Surah Al-Hadid / Ayat 3 :
Baca sebelum tidur, untuk kukuh iman.
Surah TbHb. / Ayat 25 - 27
Doa untuk masuk periksa, majlis ceramah ,temuduga elok ajar anak.
Surah Al Qadr
Doa untuk yang lemah jadi kuat,miskin jadi kaya, yang hina dihormati 
orang.3x selepas subuh & maghrib
Surah Al-Mulk / Ayat 14 & 15
Doa untuk jauhkan seksa kubur
Untuk Sakit, baca & gosok tempat sakit & Untuk Mohonmmurah rezeki
Surah Al-Anbiya' / Ayat 83 :
Doa Nabi Ayob - sakit selama 18 tahun
Surah Al Ahqaf / Ayat 15 :
Doa untuk diri dan ibubapa serta zuriat supaya tetap dalam iman
Surah Al-Furqan/ Ayat 74
Doa untuk rumah bahagia, dibaca setiap lepas waktu solat(5x sehari).







Firman ALLAH …

“..Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya) nya “

Al-Thalaq :3


          Sesungguhnya Hanya Dengan Mengingati ALLAH, Hati Akan Menjadi Tenang