Pages

Wednesday, February 23, 2011

CONTOH  KARANGAN

Tajuk 1 :  Amalan berjimat cermat dan menabung.

............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.
............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.
............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.
............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.
...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.


Sunday, February 20, 2011

Bicara Buat Seorang Sultan
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)

pada kerendahan dalam pakaian,
pada penampilan dalam keramaian,
perasaan tertawan kepada sang sultan.

pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja,
moga nyata, dia payung rakyat jelata..

inilah nasihat raja dan rakyat…

raja dimulia bukan kerna singgahsana,
raja disayang bukan kerna paluan gendang,
raja diangkat bukan kerna kalimat 'daulat',
raja dicinta bukan kerna kuasa,
raja dihormat bukan kerna pangkat,

raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat

raja dibenci kerna buruk budi,
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah,
raja dilupa kerna tinggalkan agama.

apabila raja itu zuhud,
namanya selalu disebut,
apabila raja takutkan Allah,
sekelian rakyat jantung diserah,
apabila raja sangat sederhana,
jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama,
dengan ikhlas rakyat berdoa..


tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah,
kepada raja kasih tertumpah.

Dr MAZA,
160211
Penulis adalah bekas mufti Perlis


Wednesday, February 9, 2011

Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata,maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang

PERTANDINGAN GURU INOVATIF 2011

Tajuk / Tema Inovasi      : Aplikasi  Teknik Arca Dalam Hiasan Dalaman dan Seni Taman


Sinopsis Inovasi                        :

Inovasi ini berkaitan dengan penciptaan bahan seni arca dalam hiasan dalaman dan seni taman. Tajuk Arca, Hiasan Dalaman dan Seni Taman dalam Pendidikan Seni Tingkatan 4 dan 5 jarang ditekankan atau diajar hanya berdasarkan teori dan gambar sahaja. Melalui penciptaan bahan seni arca ( simen dan stopeng), pelbagai reka bentuk unik , menarik dan cantik dapat dihasilkan. Malah hasil yang ditunjukkan mampu dikomersilkan atau berupaya memberi peluang kerjaya kepada pelajar pada masa akan datang. Pencampuran simen dan stopeng merupakan formula baru yang berjaya mempercepatkan penghasilan reka bentuk , pengeringan dan  ketahanan. Inovasi yang dihasilkan ini juga dapat membantu meningkatkan minat pelajar terhadap pelajaran pendidikan seni seterusnya menceriakan kawasan sekolah.

Sunday, February 6, 2011

Duhai rakan dan anak pelajarku,

Ambil masa untuk BERFIKIR, ia adalah sumber KUASA pemberian Maha Esa
Ambil masa untuk MEMBACA, ia adalah asas kepada BIJAKSANA
Ambil masa untuk BERTAFAKUR, ia adalah peluang untuk ingat ALLAH yang Esa
Ambil masa untuk BERANGAN, ia adalah sumber MASA DEPAN
Ambil masa untuk BERDOA, ia adalah KUASA TERKUAT DI MUKA BUMI






                                                              DOA SETIAP WAKTU


Ya Allah..Jangan Kau Pisahkanku dari Rahmat Mu..
Aku Memohon kepadaMu ya Allah..Kau tetapkanlah Imanku disepanjang waktu, Kau Jadikanlah aku diantara hambamu yang Soleh, Jauhkanlah aku dari segala Godaan Syaitan dan Kemegahan Dunia.. dan Kau Peliharalah Zuriatku dan Keturunanku dari segala tipu daya Syaitan dan Jadikanlah Anak2ku dikalangan mereka yang Soleh dan Solehah dan Kau Ampunilah dosa2ku, dosa2 isteriku, dosa2 anak2ku, dosa2 kedua ibu-bapaku, ibu bapa mertuaku dan dosa saudara2ku yang telah meninggal dan kau matikanlah kami di dalam keadaan kami telahpun suci dari segala dosa2 yang kelihatan dan tidak, yang disengajakan dan tidak, yang disedari dan tidak....Amin3 Ya Rabbal A'lamin

Hayati  Sajak ini..... Wahai rakan dan anak muridku

Perjalanan (Wahai Seorang Aku)

Wahai seorang aku,
perjalanan ini,
seumpama di lebuh raya kehidupan.kamu menuju ke satu tempat penghabisan,
memandu laju kamu memotong tatkala berpeluang,
dan kamu dipotong dalam kesempatan.

kalau memotong jangan megah,
atau menunjuk-nunjuk gagah,
kalau di potong jangan goyah,
kamu bukan lemah,
tetapi kamu dalam keimanan kepada Allah swt.
Pastikan kamu
di lorong yang betul,
hendaklah selalu memandang hadapan,
di samping memandang cermin kiri kanan dan belakang.

perjalanannya adalah tersurat sudah,
ada yang cepat dan jua lambatnya.kadangkala perjalanan jua ada masalah.
jika kehabisan minyak perlu ditambah,
adakalanya jua tayar pecah.

adakala hujan singgah...
kabus menutup pandangan mata.

Teruskanlah perjalanan
walau sebagaimanapun keadaan,
kelukaan, kedaifan, kelemasan, kebingungan...
jangan kau undur ke belakang berputus asa dengan kehidupan.
teruskan...teruskan,

cukuplah Allah yang mengawasi dan melindungimu,
semoga berbahagia di mana saja persinggahannya...
kemudian jangan lupa kau perlu teruskan perjalanan semula,
di situ bukanlah pengakhirnya,
dan perjalananmu masih lagi panjang....
ia di dalam pengetahuan Allah yang maha penyayang,
berbahagialah dengan perjalanan masing-masing...








Tuesday, February 1, 2011

Duhai anak muridku hayati kata-kata orang dulu-dulu,

Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang  hilang sekali hilang akan terus hilang.


FRASA MENARIK YANG BOLEH DIGUNAKAN
UNTUK MENULIS KARANGAN

- mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran
 reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam
 masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda
 masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani-propaganda negatif terhadap
 negara kita dapat ditepis
-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa 
 dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar   
 tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu



Sunday, January 30, 2011


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA . SEMOGA TAHUN INI AKAN MENJANJIKAN KEMAKMURAN DAN KEMEWAHAN ILMU DAN PERPADUAN

Tuesday, January 18, 2011

Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud ( Siri 3 )

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat