Pages

Saturday, December 11, 2010

Langkah Sifar Sisa Perlu Lebih Inovatif
SM Mohamed Idris | Nov 3, 10 7:06pm
Kerajaan Malaysia sedang menuju ke arah yang salah dalam menguruskan sisa pepejal perbandaran. Dilaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk membina lebih banyak insinerator di negara ini. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menentang insinerasi dan campurtangan lain.

Orang ramai terpaksa menanggung beban kewangan semua jenis insinerasi atau tapak pembuangan sampah. Kos kepada kerajaan tempatan akan meningkat dan komuniti akan berakhir dengan membayar cukai dan kos kesihatan awam.

Alternatifnya, mengurangkan sisa, mengitar semula dan menjadikan kompos lebih ekonomi berbanding insinerasi atau membuka tapak pembuangan sampah.

Insinerasi menawarkan penyelesaian yang cepat tetapi tidak wajar dan tapak pembuangan sampah yang semakin penuh pula. Insinerator tidak menyelesaikan masalah sisa perbandaran.

Ia mengeluarkan antara lain bahan partikel, gas, sebatian organik mudah meruap (VOC), logam berat, dioksin, sulfur dioksida, karbon monoksida, raksa, karbon dioksida dan furan. Malah jumlah gas toksik yang kecil yang keluar daripada insinerator boleh membahayakan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Contohnya, raksa merupakan neurotoksin yang berkesan dan merebak boleh menjejaskan fungsi motor, sensori dan kognitif. Dioksin merupakan bahan karsinogen paling berbahaya kepada manusia di mana tidak diketahui paras pendedahan yang selamat.

Mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada dioksin dan bahan pencemar lain ialah pekerja insinerator serta mereka yang tinggal berdekatan dengan insinerator, tetapi kesan insinerasi turut merentasi kawasan yang jauh; bahan pencemar organik berterusan (POPs) seperti dioksin dan furan boleh tersebar beribu kilometer dan terkumpul dalam haiwan dan manusia.

Pencemaran juga tersebar apabila makanan dihasilkan berdekatan insinerator yang kemudiannya dihantar kepada komuniti lain.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa rekabentuk dan teknologi insinerator baru akan menangani masalah pengeluaran gas. Bagaimanapun, dalam semua teknologi insinerasi, peralatan kawalan pencemaran udara merupakan peralatan utama yang memerangkap dan mengumpulkan pencemar toksik; ia tidak menghapuskannya.

Dengan memerangkap dan mengumpulkan bahan pencemar ini, ia akan dipindahkan kepada saluran alam sekitar lain seperti abu yang berterbangan, arang, sang dan sisa air. Insinerator masih memerlukan tapak pembuangan sampah.

Sisa abu perlu dihantar ke tapak pembuangan sampah untuk dilupuskan, berpotensi melarutresap ke dalam air bawah tanah, menyebarkan bahayanya.

Pihak berkuasa juga menyatakan kitar semula turut dijalankan sebelum sisa diinsinerasi atau dibuang. Peratusan kecil bahan berbaki selepas dikitar semula, digunakan semula dan dikomposkan dipanggil “sisa-sisa” sering beracun, kompleks dan mempunyai nilai tenaga yang lebih rendah. Insinerasi bukanlah strategi yang sesuai untuk menangani sisa. Dengan berbuat demikian ia menghasilkan pengeluaran gas berbahaya dan menjejaskan usaha untuk mengurangkan sampah.

Pendekatan yang lebih praktikal dengan kos yang lebih berkesan dan selamat mengandungi peratusan sisa yang tidak dikitar semula yang lebih kecil perlu dikaji dan melaksanakan dengan memanjangkannya kepada tanggungjawab pengeluar dan insentif serta peraturan lain supaya bahan dan produk ini dikeluarkan daripada pengeluaran dan menggantikannya dengan amalan yang lebih mapan.

Pelbagai sistem mengasingkan bahan daripada pembuangan telah dilaksanakan di seluruh dunia. Teras utama program ini ialah pintu ke pintu atau pusat pengumpulan bahan yang diasingkan untuk dikitar semula.

Peratusan sisa isirumah kita yang tinggi ialah bahan organik. Oleh itu, kompos memainkan peranan penting. Sistem kompos bahan organik yang paling mudah dan murah ialah melakukannya di rumah. Pilihan lain ialah melakukan kompos pada skala kejiranan.

Kerajaan perlu mendidik orang ramai supaya memisahkan sumber dan bergerak ke arah sifar sisa. Sifar sisa bermakna mewujudkan matlamat dan merancang untuk melabur dalam infrastruktur, tenaga kerja, dan strategi tempatan diperlukan untuk menghapuskan pergantungan kita kepada insinerator dan tapak pembuangan sampah.

Bandar raya di seluruh dunia termasuk Buenos Aires, Argentina; Canberra, Australia; Oakland, Amerika Syarikat; Nova Scotia, Kanada; Kovalam, India dan lain-lain, telah pun membuat satu kemajuan besar ke arah mencapai sifar sisa.

Bandar raya ini membina taman kitar semula dan kompos, melaksanakan sistem pengumpulan inovatif, memerlukan produk dibuat dalam cara yang lebih selamat, dan mewujudkan pekerjaan berasaskan tempatan.

Pelbagai dasar seperti Tanggungjawab Pengeluar, Pengeluaran Bersih, Cukai Pembungkusan, dan Pengharaman Bahan Khusus (seperti beg plastik, stirofom, PCBs dan sebagainya) telah terbukti berkesan dalam mengurangkan dan menghapuskan bahan bermasalah.

Kami menggesa Kerajaan Malaysia menghentikan pembinaan lebih banyak insinerator. Kunci kepada komuniti dan alam sekitar yang lebih sihat ialah untuk menyalurkan semula berjuta ringgit yang dilaburkan bagi sistem tapak pembuangan sampah dan insinerasi itu digunakan untuk pengurangan dan pencegahan sisa serta sistem sifar sisa.

Penulis adalah Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment