Pages

Wednesday, March 16, 2011

BERSAMBUNG ....
CABARAN BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI

Masalah Pemakaian dan Keutamaan Bahasa Melayu

Dari segi bahasa, Bahasa Inggeris sudah nyata akan merubah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba. Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam Bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam Bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam Bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam Bahasa Melayu dan berfikir dalam Bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan Bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka.

Oleh sebab bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur Bahasa Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Bahas Melayu juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar mengglobalkan Bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.

Apabila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan global Bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu.

Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak. Perkara ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa-apa yang selama ini dikenali sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara” yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa.

Utiliti atau Sifat Perlu-guna Bahasa Melayu

Utiliti atau sifat perlu guna Bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya. Dalam satu aspek Bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus menerus disalur oleh Bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa Bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam Bahasa Melayu(BM). Lagipun sebagai lingua franca negara ini Bahasa Melayu akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu Bahasa Melayu dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai Bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Hal ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, Bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Perkara ini bererti sekian banyak istilah Bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata Bahasa Melayu. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.

Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, Bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris.

Unsur-unsur dan Amalan yang Merosakkan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan Bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding Bahasa Melayu tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan:

a. Kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang kesenian yang tidak disaring dan dikemas.
f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.

Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi. Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Hal ini amat memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963

Akta Bahasa Kebangsaan 1963 merupakan terjemahan cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan yang meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda Orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Akta ini tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.

Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya Bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal Bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP).

Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai dengan penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan Bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan kecapaian” pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.

Perubahan Dasar

Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu? Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains merubah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan.Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik dalam kalangan bukan Melayu berada pada tahap baik. Hal ini adalah kerana pengajaran Bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Perkara ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK.

Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka dalam bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian Bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana.Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada pada tahap lama, mereka akan terus lemah pencapaian Bahasa Inggeris, sains dan matematik.

Sekurang-kurangnya Bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Hal ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian dalam kedua-dua subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.

Peranan Institut  Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku ialah Bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi Bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran Bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan menghilang. Perkara ini merupakan sikap mengalah dan pesimis.

Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan Bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini.Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan Dasar Buku Nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.

Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang Bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan.

Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi Bahasa Melayu zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata. Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”.  Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Perkara inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Hal ini juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya selera.

No comments:

Post a Comment